Showing posts with label Resepi. Show all posts
Showing posts with label Resepi. Show all posts

Monday, April 15, 2013

Toffee Caramel Cheesecake untuk puteri tunggalku..

Assalamualaikum semua...
Semalam 14 April 2013, genaplah 11 tahun usia puteri tunggal akak... Dah besar anak ibu..
Kebetulan sebab semalam cuti dapatlah jugak menggodek2 kek untuk Afiqah.
 Inilah hasilnya Toffee Caraamel Cheesecake... abaikanlah kecomotannya tu ye...
 Lapisan bawahnya sponge cake dan atasnya cheese...
Comotnya dengan karamel....

Untuk yang nak mencuba resepi yang akak guna sama jer dengan resepi dari blog Rasa Basyirah.... Jadi akak copy paste je lah resepi bahagian cheesenya kat sini...bahagian bawahnya tu boleh gunakan premix vanilla sponge cake yang ada jual di kedai-kedai bakeri..

Toffee Caramel Cheesecake

Tofee

Bahan:


40 gm almond nib

60 gm gula kastor


Cara:

1- Masakkan gula dalam bekas caserol sampai kuning, masukkan almond nib, gaul. Tutup api dan ratakan atas loyang sebentar.

2-Bila sejuk patah-patahkan kecil.


Bahan Cheese

200 gm cream cheese

20 gm gula kastor

8 gm gelatin ( akak gunakan 10 gm)

60 gm air

200 gm whipped cream (whisk dahulu)


Cara:

1-Putar cream cheese sampai gebu, masukkan gula dan pukul sampai smooth. Kemudian tapiskan.

2-Dalam bekas lain, curah gelatin dalam air, biar seketika double boiled sampai gelatin hancur. Campurkan pada adunan cream cheese, gaul rata

3-Akhir sekali kacau dengan whipped cream, masukkan dalam loyang 7', berselang seli tabur toffee tadi.

4- Sejukkan dalam peti ais


Topping

1/2 cawan brown sugar

1 cawan anchor whipping

1 tsp butter

Cara:

1-Campur semua bahan, panaskan sampai pekat. Kemudian sejukkan dalam suhu bilik


Hiasan


100 gm walnut (imported) di tos dan cincang


Cara:

1- Keluarkan kek tadi dan tabur walnut kemudian letak topping tadi. Hidangkan

P/S : Harapan ibu Ateh akan membesar menjadi anak yang solehah, berjaya dunia dan akhirat...doa ibu dan abah akan sentiasa mengiringi perjalanan anak2 kami....



Thursday, March 28, 2013

Nostalgia Kek Butter

Assalamualaikum semua...
Hari ni akak membakar kek butter sebab ada yang menempah cupcake butter. Teringat masa akak kecik2 dulu, kalau boleh mamasak kek butter yang elok kejadiannya pun dah kira hebatlah kan... Masa dulu sukatannya pakai cawan aje... akak mula2 belajar memasak kek butter ni semasa ke rumah kawan akak... mak dia memang pandai memasak... buat kek pukul pakai senduk kayu jer... tak de mixer bagai... tapi resepi kat bawah ni yang dah sukat pakai gram...

Bahan2nya

250 gm butter
180 gm gula kastor
4 biji telur
250 gm tepung gandum
1 1/2 sudu teh baking powder*
1/2 sudu teh soda bikarbonat*
100 ml susu segar/cair
1 sudu teh esen vanilla
* diayak bersama2 tepung

Cara membuatnya

Pukul butter dan gula hingga kembang
Masukkan telur sebiji demi sebiji
Masukkan esen vanilla
Masukkan tepung dan susu secara berselang seli
Bakar dalam suhu 170° selama 1 jam atau sehingga masak.

Monday, February 25, 2013

Chewy Brownies


Assalamualaikum semua....
Pagi2 ni nak masukkan n3 tentang Chewy Brownies yang dah licin pun. Akak buat minggu lepas. Resepinya daripada seorang kawan lama... senior akak masa sekolah dulu2. Resepi ni akak dapat dah hampir 2 tahun, minggu lepas baru berkesempatan mencuba...
Asalnya resepi chewy Brownies ni tak ada lapisan cheese, tapi sebab akak nak menghabiskan stok cheese yang ada akan lapiskan aje dengan cheese.
Untuk yang ingin mencuba...

Bahan2nya:

2 cawan tepung gandum
2 cawan serbuk koko
500 gm gula
4 biji telur
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh double action baking powder ( akak tambah)
1 cawan marjerin atau butter cair
Badam atau apa-apa jenis kekacang kalau suka
Cara Membuatnya:

Campurkan kesemua bahan dan pukul sebati
Adunan memang pekat seperti dodol.
Ratakan dalam dulang yang sudah dialas.
Bakar 160' celcius selama 30 minit.

Akak buat separuh daripada adunan di atas, jadi akak gunakan loyang 8 x 8 inci.

Untuk sesiapa yang ingin letakkan cheese 

250 gm cream cheese
70 gm gula kastor
1 biji telur
Sedikit esen vanilla

Pukul semuanya dan tuangkan atas adunan yang telah dibakar tadi dan bakar semula selama 20 minit atau sehingga cheese masak...

P/S : Kata Kak Liza, penyumbang resepi ni, ilmu itu milik Allah... jadi sebab itulah dipanjang2kan...Terima kasih Kak Liza Suryani, semoga akak sekeluarga sentiasa di bawah keredhaan dan keberkatan Allah...

Monday, December 17, 2012

Pancake

Assalamualaikum semua....

Hari masukkan tentang pancake yang akak buat untuk sarapan 3 hari lepas kot.
Dah lama teringin nak buat pancake, jadi google2 jugak dan resepinya semua lebih kurang jer.Jadi buat jelah cara yang paling mudah...
Awan mula2 tengok macam pelik jer sebab biasanya diorang makan lempeng... tapi pagi tu ibu dia nak jadi omputih sikit... jadilah pancake...
Jom layan resepi..

Bahan-bahannya:
  • 3 sudu butter yang dicairkan
  • 1 cawan tepung
  • 1 biji telur
  • 1 cawan susu - akak pakai susu full cream
  • 1 sudu teh baking powder


Cara-caranya
  • Akak masukkan semuanya dalam blender dan blender sekejap.
  • Panaskan non stick pan dan masakkan sehingga garing...


Tuesday, December 4, 2012

Puding Durian

Assalamualaikum semua
Dah agak lama tak update blog ni... selalunya jenguk2 jgk,tapi sejak kebelakangan kekadangnya lupa sekejap kat blog disebabkan sibuk dengan tugas2 rasmi... secara tidak rasminya tugas2 tu dah selesai malam tadi, tapi secara rasminya minggu depan. Tapi apa2pun sekarang ada lah jugak masa nak bersenang lenang sempena cuti sekolah ni.
Jadi untuk hari ni akak nak masukkan n3 tentang puding durian yang dah lama habis sebenarnya...
Puding ni akak buat minggu lepas lg... kalau sesiapa yang pernah mencuba puding jagung yang ada kat blog akak, resepi untuk puding durian ni pun sama, cuma akak tak masukkan whipping cream je.. ok jom layan resepi


Bahan-bahannya

1 kotak ( 1 liter ) susu
1 cawan tepung kastard
8 sudu besar gula pasir
1/2 @ 3/4 cawan isi durian

Cara memasaknya
Campurkan kesemua bahan dan masak atas api sederhana hingga mendidih dan masak...
*puding ni juga lembik, sesuai kalau dimasukkan ke dalam bekas-bekas kecil...

Selamat mencuba.... sementara durian tengah banyak sekarang ni, jangan lupa mencuba...


Wednesday, October 3, 2012

Popia Kentang

Assalamualaikum semua...
Tetiba jer hari ni terajin nak masukkan n3 tentang popia ni... Sebenarnya dah tayang pun gambar popia ni minggu lepas kot.... saja je hari ni nak masukkan resepi, walaupun orang lain semua dah tahu... Popia ni akak buat Ahad dua minggu lepas, masa akak buat tu husband akak tak ada, akak ada mms gambar kat dia, tapi dia tak terima katanya... akak ada jugak simpan sikit, frozen kan untuk dia rasa... jadi minggu lepas, akak gorengkan sebelum dia pergi kerja... sebab tak sempat makan, dia bawa ke pejabat jer... bila petang tu akak nak tanya jgk... bukan apa... takut dia lupa makan.... tak sempat akak tanya dia cakap... sedap lah popia tadi... beli kat mana?...Terus akak cakap... amboi.... under istimate ibu ye!.... (dalam hati seronok jugak sebab kena puji.. .. hihiihii... mok cik perasan) Macam akak tulis dulu lah, akak ni tak pernah buat popia... itu yang semuanya macam tak konfiden aje dengan popia tu...oops.. tak konfiden dengan akak... daripada anak sampai ke bapaknya. Resepinya biasa2 jer.. mungkin orang lain buat lagi sedap kot... tapi pada yang ingin mencuba, boleh lah mencuba...

Popia Kentang

Bahan-bahannya
  • Kulit popia secukupnya
  • 5 biji kentang - akak parut je macam buat inti popia biasa
  • Sekeping daging kisar Ramly
  • 1 labu bawang besar ( potong dadu )
  • 2 pokok daun sup ( hiris )
  • Serbuk lada hitam dan garam secukupnya
Cara-caranya

Tumiskan bawang besar hingga layu
Masukkan daging kisar dan biarkan betul2 masak.. kalau tak suka daging boleh jer ganti dengan ayam
Kemudian masukkan serbuk lada hitam dan kentang.... masak hingga betul-betul masak
Masukkan daun sup dan garam secukupnya...
Kemudian bolehlah digulungkan dalam kulit popia gamkan hujungnya dengan telur dan bolehlah digoreng

Monday, September 24, 2012

Tiba-tiba saham menjulang tinggi...... Talam Skoteng

Assalamualaikum semua....
Apa khabar semua... harapan akak dan doa akak semuanya sihat-sihat ye... Bagi suri rumah pasti sedang sibuk ni... membasuh, mengemas dan dah mula fikir-fikir nak masak apa... atau dah fikir dari semalam ye... akak je lah yang lambat ye... rancang2nya nak goreng mi je ari ni....
Sedar tak sedar hari ni dah 24 hb... cepatnya masa berlalu... rasanya macam baru je akak berpindah ke Kuantan ni tup tup dah dekat 4 bulan pun... tapi bila tengok pada n3 kat blog akak, ini baru n3 ke-5 untuk bulan ni... entahlah... sekarang ni malas sangat nak update... kalau awal tahun dulu alasannya sebab tak ada mood berjauhan daripada suami dan 2 orang anak yang kecik tu, tapi sekarang.... sama je... itulah sifat manusia yang suka membangau kan... kesalahan sendiri tak nampak, selalu meletakkan kesalahan tu atas sesuatu. Minggu lepas rasanya tak sibuk sangat, tempahan pun tak banyak akak terima dapatlah berehat sikit, dahlah bersekolah sampai hari Sabtu... itulah dulu nak beraya sangat kan... suami akak pulak seminggu tak ada, dari hari Selasa lepas, petang nanti baru sampai.... balik sekolah petang nanti terpaksalah akak ke airport pulak menjemput dia.... sibuknya memanjang, tapi itulah tugas dia... dah 17 tahun kahwin... dah faham sangat... dah selalu kena tinggal... tak pe.. dia sayangkan akaklah tu kan... 
Panjang pulak akak berceloteh pagi ni ye.. berbalik pasal tajuk kat atas.... saham menjulang tinggi... saham apa ye? Jangan salah faham... bukan saham akak, saham akak tak pernah tinggi pun... maksud akak saham Talam Skoteng kat atas ni... tiba-tiba je sahamnya naik, banyak pulak tempahan untuk talam ni.... sampai stok skoteng kat rumah akak pun habis.... stok tu dibawa dari Kajang.... kat Kuantan ni tak tau nak cari kat mana.... nanti kena tanya blogger2 memasak yang dah lama kat Kuantan ni lah.... nasib baik suami akak selalu meeting kat Putrajaya... haaa... tengok tu, ada hikmahnya kena tinggal kan? bolehlah akak suruh dia ke Bangi, beli skoteng untuk akak.... nasib baik ada....jadi sekarang ni dah ada lah stok skoteng kat rumah akak... sesiapa yang nak mencuba Talam Skoteng ni, nanti akak masukkan resepi ye.... sekarang layan dulu mood akak yang rajin nak menaip ni.... bukan senang mood ni nak datang.
 Talam Skoteng dan Talam Tokyo kat atas ni, tempahan  Su daripada SMK Astana, sekolah akak mengajar dulu, akak tak sempat kenal dengan Su, tapi tempahan ni dibuat selepas dipromosi oleh Fazelina dan Rozlin.... terima kasih ye Faz dan Lin...Tempahan ni diambil tengah hari Jumaat lepas.

1/2 kilo RVC ni pun ditempah oleh Su semalam sempena birthday suami tersayang... terima kasih ye Su.... harap Su berpuas hati..
Ini pulak Talam Keladi... dah lama teringin nak makan... tapi kat Kuantan ni akak tak tau nak cari keladi kat mana, kalau kat Kajang dulu dah tentu akak tuju ke Billion atau pasar... kat Kuantan ni tak pernah lagi akak jejak kaki kat Pasar Kuantan, sebab kat kawasan akak tinggal ni dah ada semuanya....(keladi je tak de) 
Tiba-tiba hari Ahad lepas, masa ke Giant akak terjumpa keladi cina yang kecik2 tu.... tak pe lah kan tak de keladi Malaysia, keladi Cina pun oklah.... jadi hari Sabtu hari tu, bertukarlah keladi cina tu jadi Talam Keladi...oooops... beli keladi hari Ahad... Talam Keladi hari Sabtu.... hehehe... tengoklah tahap kerajinan akak, berapa lama keladi tu terperap kat dalam peti sejuk.... nasib baik keladi tak boleh tumbuh.... 
Ini pulak hidangan untuk minum petang semalam.... Popia Kentang.... si kecik akak Awan, suka sangat makan popia, tapi dia tak sebut popia, dia sebuat kopia.... masa bulan puasa hari tu, macamlah dia puasa.... boleh dikatakan tiap2 hari belikan popia goreng yang disira tu untuk dia... masa akak balik sekolah petang Jumaat tu, dia siap pesan... Ibu.... esok beli kopia.... terfikir jugak kat manalah akak nak cari popia... balik sekolah  petang dah lewat. Hari Sabtu hari tu, balik pukul 5, singgah jugak Pasar Malam kat Jalan Gambut tu... sebab baru pukul 5....batang hidung popia pun akak tak nampak, peniaganya baru letak label... kuali pun dalam van lagi... jadi akak cuma belikan rojak ayam je untuk dia.
Jadi semalam, bawa dia pergi Tunas Manja sebab dah berhajat nak buatkan popia untuk dia... tapi buat popia kentang je sebab akak tengok kentang akak dah bertunas... akak ni jarang sangat-sangat buat popia, dia pun tak pernah tengok akak buat popia. Bila sebelah petangnya akak keluarkan kulit popia, dia siap tanya.... Ibu, ibu pandai ke buat kopia?....
Haa... inilah rupa skoteng... atau dipanggil juga pacar cina... seingat akak, akak dah masukkan gambar skoteng ni dulu.... Jadi untuk sesiapa yang ingin mencuba Talam Skoteng... akak turunkan resepinya kat sini, resepinya tentulah daripada Chef Asma... tapi adalah yang diubah sikit2... nak cipta resepi sendiri belum mampu... ye lah akak ni pun masih lagi belajar masak-memasak ni...

Talam Skoteng

Lapisan Bawah

Bahan A
  • 70 gm skoteng - rebus hingga jernih, lalukan air dan toskan
Bahan B
  • 150 gm tepung beras
  • 250 ml santan pekat
  • 450 ml air
  • 1 sudu besar tepun hoen kwee putih
  • 90 gm gula pasir
  • 1 sudu teh garam
  1. Bancuh bahan B dan tapis ke dalam periuk
  2. Masak sehingga pekat dan masukkan skoteng yang sudah ditoskan tadi
  3. Tuang ke dalam loyang dan kukus selama 25 minit ( saiz loyang 10 x 10 in )
Lapisan Atas
  • 150 gm tepung gandum
  • 190 gm gula pasir
  • 4 biji telur
  • 250 ml santan pekat
  • 500 ml air
  • 1/2 sudu teh garam
  • 2 sudu besar perisa rose
  1. Bancuh  semua bahan dan tapis ke dalam periuk.
  2. Masak sehingga pekat dan tuangkan ke atas lapisan bawah yang telas dicakar dengan garfu.
  3. Kukus selama 30 minit.


Wednesday, September 19, 2012

Kari @ Gulai Siam

Assalamualaikum semua....

Hari ni datang mood rajin sikit nak update blog... tapi sebenarnya apa yang dimasukkan ni, lauk yang dimasak Ahad lepas... bagi penggemar kari, kalau nak lainkan sikit rasanya bolehlah mencuba.
Resepi ni akak dapat daripada adik ipar akak semasa balik beraya hari tu... tapi ada yang diubahsuai...Kalau kat Kedah dipanggil gulai... kalau kat sini dipanggil kari... Jom tengok resepinya..
Kari @ Gulai Siam
  • 1/2 kilo ikan ( apa-apa jenis ikan je yang sesuai - akak guna ikan kembong- kat kedah dulu guna ikan Temolian)
  • 2 sudu besar rempah kari
  • 2 sudu besar pes tomyam
  • 500ml santan pekat dan ditambah dengan air sebanyak yang dikehendaki...
  • 3-4 helai daun limau purut
  • Rebung secukupnya ( tapi akak gantikan dengan bendi dan tomato- tak sempat cari rebung )
Cara memasaknya
  1. Masukkan santan dan air secukupnya ke dalam periuk
  2. Masukkan serbuk rempah kari dan pes tomyam
  3. Bila dah sebati, masukkan bendi @ rebung.
  4. Kemudian masukkan ikan dan seterusnya tomato.
  5. Masukkan daun limau. Biarkan mendidih.
  6. Perasakan dengan garam kalau belum cukup masin.
Senang je kan...... Selamat Mencuba...

Tuesday, September 4, 2012

Puding Jagung

Assalamualaikum semua...

Semalam akak masak Puding Jagung ni... dah lama tak makan dan dah lama janji dengan kawan-kawan kat sekolah... jadi, semalam baru terlaksana...Terima kasih kepada Kak Munirah yang nak berkongsi resepi puding ni dengan cikgu-cikgu kat Jalan Bukit...
Bagi yang nak mencuba...


  • 1 kotak ( 1 liter ) susu UHT
  • 1 kotak ( 200 @ 250 ml ) whipping cream
  • 1 tin jagung ( cream style )
  • 1 cawan tepung kastard
  • 8 sudu besar gula pasir
Campurkan semua bahan, kacau rata dan kacau di atas api sederhana hingga mendidih dan masak.
Tuang ke dalam acuan... ( puding ni lembik ye... tak boleh dipotong )

Monday, July 30, 2012

Puding Tauhu.... versi orang malas...

Assalamualaikum semua....
Maaflah... abaikanlah gambar yang teruk kat atas ni ye.... dahlah resepi tentang orang malas, gambar pun nampak sangat kemalasannya. Semalam akak buat Puding Tauhu untuk berbuka puasa, tapi resepinya resepi  versi orang malas sebabnya akak tak pakai acuan yang cantik2 bagai hanya tuang dalam bekas je, lepas tu main ceduk2 pakai sudu je masa nak makan dan resepinya pun tak ikut resepi asal daripada tuan punya resepi Kak Nor, main masuk2 je... jom layan resepi orang malas ni ye....

Bahan-bahannya:
  • 1 paket agar2 straw
  • 1 1/2 liter air
  • 1 kotak (200 ml) santan Kara
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin kecik susu pekat
  • 1 tin laici
Cara-caranya
  1. Masak agar-agar dengan air sehingga agar-agar hancur.
  2. Masukkan santan, susu cair dan susu pekat sambil dikacau...
  3. Bila menggelegak, tutup api dan tuanglah ke dalam acuan sesuka hati... kalau malas ikut akaklah ye...
Untuk kuahnya:
  1. Air daripada 1 tin laici dicampur dengan 2 tin air ( pakai tin laici tadi)
  2. Masukkan 8 sudu gula ( akak rasa kena kurangkanlah.... bagi yang suka manis ok lah)
  3. Bila menggelegak angkat.
  4. Semuanya disejukkan dalam peti sejuk supaya lebih segar bila dimakan.
Untuk yang nak resepi asal boleh rujuk kat blog Kak Nor Secubit Garam ye kat SINI....

Sunday, July 15, 2012

Kek Coklat Kukus untuk Aqil

Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah... hari ni baru settle pemasangan streamyx kat rumah akak ni setelah 3 minggu lebih dah rasanya akak memohon... macam2 masalah... masalah TM lah, masalah van kontraktornya rosaklah...
Kek coklat kukus Aqil ni pun sebenarnya dah lama kat dalam draf, tapi tak ter 'post' sebab akak dok menunggu line internet ni... jadi hari dapatlah akak post kan... untuk birthday Aqil tahun ni akak cuma buat kek coklat kukus je... tapi resepinya akak ubah suai sikit daripada resepi yang akak buat dulu...

Bahan-bahannya
  • 3 biji telur
  • 1 tin susu cair#
  • 1 cawan minyak#
  • 1 cawan serbuk koko#
  • 1/2 cawan susu pekat manis#
  • 1 cawan gula pasir#
  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu teh soda bikarbonat
  • 1 sudu teh baking powder
* Coklat ganache untuk dituang ke atasnya...

Cara-caranya
  1. Bahan yang bertanda # dimasak sekejap sehingga gula hancur dan sejukkan
  2. Pukul telur hingga kembang
  3. Masukkan bahan yang dimasak dan kacau sebati
  4. Masukkan tepung yang diayak bersama-sama soda bikarbonat dan baking powder
  5. Kacau sebati, masukkan ke dalam loyang dan kukus selama 1 jam.
  6. Kukusan perlu dipanaskan terlebih dahulu....

Ini pulak puding roti yang akak buat pada hari yang sama, tapi resepinya main agak2 dan campak-campak je....

Tuesday, July 10, 2012

Ikan Patin Masak Tempoyak

Assalamualaikum semua...

Buat apa ye pagi2 ni? Pasti ramai yang sibuk di pejabat atau ada yang tengah sibuk memasak....
Tajuk tentang ikan patin, tup2 gambar kek pulak... Sebenarnya kek gula hangus dan gulai ikan patin ni akak masak Jumaat lepas sempena pot luck kat sekolah akak...dah licin semuanya...
Bila dah post kat fb, ada kawan akak yang bertanya resepi ikan patin masak tempoyak ni. Jadi akak masukkan kat sini semula... ikut cara akaklah ye... tak taulah sama ke tak dengan resepi orang Temerloh... akak ni anak Kedah yang dah lama merantau... celup sana kejap, celup sini kejap... walau apa-apapun negeri Jelapang Padi tetap tanah tempat tumpah darahku...

Ikan Patin Masak Tempoyak

Bahan-bahan
  • 1 ekor ikan patin - bersihkan dan potong ikut suka
  • 10 tangkai cili padi - nak pedas boelh tambah lagi
  • 4 sudu makan tempoyak
  • daun kesum dan bunga kantan
  • sedikit kunyit hidup
  • asam keping
  • 2 batang serai

Cara-caranya

  1. Cili padi diblender bersama-sama kunyit hidup.
  2. Masukkan dalam periuk dan masak hingga kering air.
  3. Tempoyak diblender dengan air secukupnya
  4. Kemudian masukkan dalam lada yang dimasak.
  5. Kemudian masukkan ikan patin, daun kesum, bunga kantan dan serai.
  6. Masak sehingga sebati semuanya, kalau suka masam masukkan asam keping.
  7. Perasakan dengan garam dan kalau suka sedikit gula... sedikit je.. jangan sampai manis pulak ye...
Untuk Nita... selamat mencuba kalau dah ada tempoyak nanti kay...

Monday, July 2, 2012

Pulut Sekaya

Assalamualaikum semua....

Hari ni masukkan n3 Pulut Sekaya ataupun ada yang panggil Seri Muka. Akak buat ni hari Jumaat lepas, dah habis dah pun.... tengok gambar je lah ye... Ramai jugak yang bertanya resepi. Akak masukkan kat sini ye...
 Bahan A

  • 500 gm beras pulut - rendam sekurang-kurangnya 4 jam ( akak rendam semalaman )
  • 400 ml santan pekat
  • 100 ml air
  • 1 1/2 sudu teh garam

Cara-caranya:

  1. Gaulkan kesemua bahan A, masukkan ke dalam loyang 10 x 10 inci dan kukus selama 30 mint
  2. Kemudian pulut ditekan-tekan supaya padat.

Bahan B
  • 140-150 gm tepung gandum
  • 4 biji telur
  • 1/2 sudu teh garam
  • 250 ml santan pekat
Campurkan kesemua bahan B dan kacau rata.

Bahan C
  • 300 gm gula merah
  • 50 gm gula pasir
  • 500 ml air
Cara-caranya
  1. Kesemua bahan C direndam @ dimasak untuk melarutkan gula.
  2. Campurkan ke dalam bahan B dan tapis ke dalam periuk.
  3. Masak di atas api sederhana sehingga pekat.
  4. Tuangkan ke atas pulut yang telah dimampatkan tadi.
  5. Kukus selama 30 minit.




Tuesday, January 17, 2012

Demam pai kembali..

Assalamualaikum semua...

Malam ni cuba melawan virus M yang datang menyerang... cuba jugak update blog, masukkan tentang n3 pai yang virusnya kembali menyerang....
 sebenarnya 40 biji semuanya pai ayam, ditempah oleh Kartini.... pertama kali menempah dengan akak selepas makan masa mesyuarat koperasi hari tu...
 ini pulak 9 biji pai ayam dan 9 biji pai nenas yang ditempah oleh Kak Endon...
Untuk yang ingin mencuba akak masukkan sekali lagi resepinya kat sini....

Kulit Pai


Sumber : Kak Zai - Teratak Impian
Dikongsikan oleh : Antan Bertingkah

Bahan-bahan pastri:

250 gm tepung - guna tepung gandum
50 gm gula icing ( akak guna 20 gm sahaja)
150 gm mentega tanpa garam
1 biji kuning telur
30 gm air dingin- guna air sedikit je (agak2 boleh kepal)
Sehelai kertas minyak
Sedikit beras atau kekacang ( akak tak letak)

Cara-cara

·                    U ntuk membuat lapisan bawah (pastri),ayak tepung bersama gula aising.Gal ramas adunan tepung bersama mentega hingga menjadi seperti serbuk roti. Masukkan kuning telur dan air. Uli hingga menjadi pastri lembut.Bentukkan bulat,bungkus menggunakan plastik dan rehatkan di dalam peti sejuk selama sejam.
·                     Panaskan ketuhar pada suhu 180 c.Canaikan pastri dan masukkan ke dalam acuan tat yang bersaiz besar, ( ukuran dasarnya 5cm dan atasnya 7.5cm). Tekan2 supaya nipis, potong sekelilingnya dan cucukkan dasarnya dengan garfu. Bakar selama lebih kurang 15-20 minit.

 ini acuan yang akak guna untuk memotong penutup atasnya, untuk bahagian bawah akak gunakan saiz yang lebih besar untuk memotongnya
 inilah acuan tat tadi....

Untuk intinya

Inti Pai Ayam
Bahan-bahannya
  • 1 paket ayam kisar jenama Ramly
  • 1 tin cendawan butang di potong
  • 1 tin sup cendawan 
  • 3 labu bawang besar didadu
  • 2 biji kentang didadu dan digoreng sebentar
  • tepung gandum dan air untuk memekatkan ( 2 @ 3 sudu besar tepung)
  • sedikit serbuk lada hitam
  • sedikit butter untuk menumis.
Cara-caranya
  1. Panaskan butter dan tumiskan bawang besar yang didadu hingga layu.
  2. Masukkan isi ayam dan kacau sehingga kering
  3. Masukkan sup cendawan yang telah dikacau dengan sedikit air.
  4. Masukkan cendawan yang telah dipotong dan kemudian kentang.
  5. Masukkan serbuk lada hitam mengikut selera, boleh tambah garam mengikut selera.
  6. Masukkan tepung gandum yang telah dikacau dengan air untuk memekatkan.
  7. Sejukkan dan sedia untuk diisi ke dalam pastry.
Kulit pai tak perlu keluarkan dari acuan tadi, masukkan inti dan tutup bahagian atasnya, tekan bahagian tepinya dengan garfu dan cucuk-cucukkan atasnya menggunakan pisau.
Sapu bahagian atasnya dengan kuning telur dan kemudian bakar selama 30 minit.

Ini pulak koleh kacang yang ditempah oleh Azmar dan Zawiyah... nak resepi klik di sini...

Saturday, December 17, 2011

Pavlova

Assalamualaikum semua....

Pagi2 ni nak masukkan n3 tentang projek Pavlova akak hari Rabu lepas, bila dok tengok ramai blogger yang dah cuba dan ramai jugak yang dok buat promosi tentang pavlova ni dan tak kurang jugak yang promosi untuk adakan kelas, jadi akak pun tergerak hati jugak nak mencuba.... jadi inilah hasilnya..
Akak buat yang saiz kecik2 macam CMG buat

dan ada jugak yang besarnya.... 

Pavlova ni memang manis bagi akak, sebab itulah kena letak buah-buahan yang masam kat atasnya. Rasanya anak2 akak cakap macam rasa marshmallow dan gula2 kapas. Kalau yang besar tu, bahagian tengahnya macam rasa marshmallow, tapi kalau buat yang kecik-kecik comel tu sedap sebab rangup dan rasa macam gula-gula kapas.
Resepinya akak ambik dari blog Kak Zu Semanis Gula jadi sesiapa yang nak resepi boleh rujuk kat http://kakzusemanisgula.blogspot.com/2011/12/blog-post.html @ kalau nak rujuk kat blog CMG pun boleh...http://www.tiffinbiru.com/2011/11/pavlovaibarat-cinta-puteri-salju.html dan akak C n P resepinya kat sini 

PAVLOVA

BAHAN BAHAN

150 gram putih telur ( 4 biji putih telur )
1 cawan gula castor
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu kecil cuka makan
1/2 sudu kecil esen vanilla

Whipping cream secukupnya ( PUTAR SEHINGGA KENTAL @ SOFT PEAK)

CARA MEMBUATNYA

1. Panaskan oven pada suhu 150 c selama 10 minit dan sediakan kertas baking paper, alas atas loyang
2. Putar telur putih hingga berbuih dan masukkan gula sedikit sedikit, putar hingga adunan menjadi meringue
3. Masukkan tepung jagung dan cuka makan, gaul kaedah kaup balik
4. Masukkan dan letak adunan diatas loyang dan bentukkan adunan pavlova membulat @ mengikut kehendak hati
5. Masukkan ke dalam oven dan turunkan suhu oven kepada 120c dan bakar selama 1 jam 20 minit mengunakan api atas bawah.
6.Bila telah masak biarkan pavlova menyejuk dalam oven, renggangkan pintu oven sedikit

Monday, December 12, 2011

Talam Keladi

Assalamualaikum semua...

Pasti sekarang ni ada yang sudah ataupun sedang menikmati makan tengah hari kan... Hari ni saja2 je nak tayang talam keladi yang dah habis ni... sebenarnya akak buat ni hari Khamis lepas untuk makan2 kat Banting dan adalah yang ditinggalkan sedikit kat rumah untuk anak-anak makan. Untuk talam keladi ni memang akak biasa gunakan resepi chef Asma, akak rasa, dah ramai yang masak talam keladi guna resepi Chef Asma ni kan dan sememangnya sedap.... jadi jomlah layan sekali lagi resepi talam keladi ni....
Bahan-bahannya 
Lapisan Bawah
Bahan A

  • 210 gm tepung beras
  • 30 gm tepung ubi
  • 1 1/2 sudu teh garam
  • 1000 ml santan
Bahan B
  • 260 gm keladi yang dah dibersihkan, dipotong dadu dan dikukus
Cara-caranya:
  1. Bancuh semua bahan A sehingga rata dan sebati
  2. Tapis ke dalam periuk dan masakkan sehingga pekat.
  3. Masukkan keladi dan dikacau rata.
  4. Tuangkan ke dalam loyang 10 x 10 inci dan kukus selama 25 minit

Lapisan Atas

  • 150 gm tepung gandum
  • 210 gm gula pasir
  • 4 biji telur
  • 750 ml santan
  • pewarna purple
Cara-caranya
  1. Bancuh semua bahan dan tapis ke dalam periuk.
  2. Masak sehingga pekat dan tuangkan ke atas lapisan bawah yang telah digores2 dengan garfu.
  3. Kukus selama 30 minit.
Semasa hari ketiga bermesyuarat, akak dapat call daripada Kak Zaharah yang menempah 3 talam kat bawah ni...Talam Tokyo, Talam Keladi dan Talam Suji...

Terima kasih ye Kak Zaharah, sebab memperkenalkan talam2 ni pada jiran akak tu....

Sunday, December 11, 2011

Sambal Hitam Pahang

Assalamualaikum semua....

Hari ni pagi2 curi masa sekejap mengadap lappy, masukkan n3 tentang sambal hitam Pahang yang sempat akak buat Rabu lepas. Memang sedap sambal ni. Kebetulan pulak nak menghabiskan belimbing kat belakang rumah yang bergayut-gayut dan dah banyak yang gugur tu.
Bahan-bahannya:


  • 15 biji belimbing buluh yang direbus hingga kering
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih 
  • 6 biji cili padi ( ikut kepedasan cili padi masing-masing)
  • segenggam ikan bilis
  • sedikit minyak untuk menumis
  • garam secukupnya

Cara-cara membuatnya:

  1. Belimbing direbus hingga kering atau kehitaman, perlu selalu dibalik-balikkan sebab takut hangit dan melekat.
  2. Bawang merah, bawang putih dan cili padi ditumbuk halus. Ikan bilis ditumbuk kasar (terpulang masing-masing, boleh juga ditumbuk halus)
  3. Panaskan minyak dan masukkan bahan yang ditumbuk.
  4. Kemudian masukkan belimbing.
  5. Masak hingga kering dan perasakan dengan garam secukupnya.
  6. Perlu selalu dikacau macam buat serunding.
Selamat mencuba... anak2 akak pun suka makan. Kami sempat makan sekali saja, yang selebihnya habis diratah along...

Thursday, October 27, 2011

Samperit Comel

Assalamualaikum semua....

Petang ni nak berkongsi resepi biskut raya..... mesti macam pelik je orang baca kan.... patutnya berkongsi masa bulan puasa hari tu... Akak ni tak pandai pun buat biskut, sikit2 tu adalah... dan samperit ni antara kuih yang agak banyak ditempah... dan 5 balang kat bawah ni sebenarnya tempahan untuk Deepavali semalam. Tapi nak dijadikan cerita, masa akak nak buat biskut ni resepi akak hilang, sampai sekarang tak jumpa2, tapi nasib baiknya resepi ni akak dah kongsikan dengan cikgu sekolah akak dan biras akak, jadi dengan muka tak malunya terpaksalah akak minta balik... kira buruk siku ke tu.... Sebenarnya ada lagi biskut yang sepatutnya akak siapkan, tapi disebabkan akak balik kampung mengejut hari tu, 5 balang ni je lah yang dapat akak siapkan... tapi alhamdulillah diorang ni cukup memahami... Resepi samperit ni senang je.. jadi sesiapa yang rajin bolehlah mencuba....
Bahan-bahannya:

200 gm butter
160 gm gula ising
2 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
4 cawan tepung jagung
1 cawan tepung ubi
Kristal sugar untuk hiasan

Cara-caranya:

Pukul butter dan gula ising
Masukkan telur dan esen vanilla - pukul lagi
Masukkan tepung dan pukul sebati.
Terap mengunakan acuan kat bawah ni...

Taburkan gula kristal 
Bakar pada suhu 150'C hingga kekuningan bawahnya...

P/s: sekarang ni sedang mengumpulkan mood untuk siapkan tempahan tat dah lama tak siap2. Sejak suami akak tak ada ni mood nak memasak pun hilang... walaupun waktu dia ada kat rumah... nak buat cam mana ye... 
Maaf dipohon kepada Wong, Lau Bee Bee dan Azmar yang tak dapat nak siapkan tempahan untuk Khamis lepas dan juga kepada Fadhilah, Ani dan Fira untuk hari Jumaat.

Wednesday, October 26, 2011

Agar-agar Roti

Assalamualaikum semua....

Masukkan n3 pencuci mulut yang dibuat semasa majlis tahlil mak mentua akak Sabtu lepas, masa hari Jumaat akak kukuskan Seri Muka, dan untuk Sabtu akak buatkan Agar-agar Roti ni.
Resepi agar-agar ni sempat suami akak godak2 kat internet tapi bila akak nak link kan tak jumpa pulak... jadi tuan empunya resepi kalau terbaca n3 ni tolong inform akak ye... bukan niat tak nak link kan tapi akak tak jumpa. Jadi jom semak resepi, jadi sesiapa yang tahu ni resepi siapa tolong bagi tahu ye....

Bahan-bahannya:

Bahan A
1 paket agar-agar (20 gm)
Air secukupnya ( bila dimasukkan dalam periuk tenggelam agar2)
3 sudu besar gula

Bahan B
3 keping roti
2 biji telur
1 tin susu cair
5 sudu besar susu pekat
2 sudu besar sunquick
1 sudu teh esen vanilla
Pewarna kuning dan hijau atau warna yang disukai

Cara-caranya:

Masakkan agar-agar dan air sehingga hancur
Masukkan gula

Roti dicarik-carikkan dan diblender bersama-sama telur, susu cair dan susu pekat.
Kemudian tuangkan ke dalam agar-agar tadi atas api yang perlahan, kacau rata.
Masukkan sunquick dan esen vanilla. Tunggu sehingga masak.
Asingkan dua cawan atau lebih untuk dicampurkan dengan pewarna.
Tuangkan agar-agar ke dalam loyang dan tuangkan 2 bahagian yang berwarna secara berselang seli @ mengikut kreativiti masing-masing.

Selamat mencuba.... agar-agar ni memang sedap sebab terasa susu dan sunquick tu...

Tuesday, October 25, 2011

Daging Salai Masak Lemak campur Pucuk Ubi dan Belimbing Buluh

Assalamualaikum semua....

Masukkan pulak n3 tentang daging salai masak lemak... sebenarnya ni bukan menu hari ni pun, menu minggu lepas. Suami akak bawa balik daging salai dari Kuala Lipis, masa dia ke sana dulu.
Akak masak daging salai ni campur sikit dengan pucuk ubi dan belimbing buluh....resepinya agak2 je
Bahan2nya:

  • Daging salai
  • Santan
  • Serai
  • Pucuk ubi
  • Belimbing buluh
  • Bawang merah
  • Cili padi
  • Asam keping
  • Sedkit kunyit
Cara2nya
  1. Tumbuk bawang dan lada kecik. Masak atas api hingga kering air.
  2. Masukkan santan dan serai yang diketuk dan kunyit.
  3. Masukkan daging, pucuk ubi dan belimbing.
  4. Masukkan asam keping kalau tak cukup masam dan garam secukupnya.

Kisah Ibu dan Bunga Hydrangea

Assalamualaikim wbt dan salam sejahtera.. Wah... dah lama bebenor ibu tak menulis di sini, sampai ibu dah tak ingat macam mana nak urus...