Diam tak diam dah lebih seminggu cik antan tak update blog ni, memang tempahan pun agak kurang yang masuk dan perasaan malas betul-betul menguasai cik antan. Lagi pulak minggu lepas memang cik antan agak kurang sihat. Bukannya apa, rasanya penangan makan durian yang agak banyak lebihan buat kek coklat durian Hapizah minggu lepas tu.
Hari Jumaat lepas, cik antan mohon cuti, sebabnya nak ke sekolah along, ada hari pengambilan kad kemajuan di sekolahnya. Seingat cik antan ni kali kedua cik antan mohon CRK, bukannya apa cik antan ni bukannya jenis yang suka ambik cuti, rasa bersalah pulak kalau orang lain terpaksa ganti kelas kita. Sebab tu lah kalau demam sikit-sikit dan masih mampu ke sekolah, cik antan tetap akan ke sekolah.
Berbalik pada kisah kad kemajuan along tadi, cik antan dan suami sampai di sekolahnya SMSTJ lebih kurang pukul 8.50 pagi, program bermula jam 9.00 pagi, jadi terpaksalah kami tunggu lebih kurang 10 minit, biasalah tu..Bila tengok keputusan along alhamdulillah. Bagi cik antan memang cik antan tak sangka keputusannya begitu, ditambah pula semasa menjelangnya peperiksaan along begitu sibuk dengan latihan band yang disertainya, namun alhamdullillah dia boleh seimbangkan antara akademik dan aktiviti luar.
Sehari sebelum cik antan ke SMSTJ cik antan bersembang-sembang dengan salah seorang rakan cik antan yang mempunyai anak yang sebaya dengan along, anak rakan cik antan ni sejak dari tahun 1 tidak pernah dapat tempat selain daripada tempat pertama, dan sekarang sedang belajar di SAMBES, dan sekarang walaupun di tingkatan satu anak rakan cik antan tadi masih lagi mengekalkan kecemerlangannya dengan mendapat pertama.
Semalam cik antan ke Klang sebab ada family gathering di rumah adik ipar cik antan, dan semasa bersembang-sembang dengan biras cik antan tentang anaknya kini yang sedang belajar di tingkatan 3, anaknya juga sentiasa mendapat tempat pertama dalam tingkatannya. Terdetik dalam hati cik antan, pandai-pandainya anak orang. Sebab itulah suami cik antan agak tertekan sebab anak-anak saudara sebelahnya semua pandai-pandai.
Bagi cik antan pulak, bukannya tak nak anak-anak pandai tetapi tidaklah terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sepanjang pengalaman cik antan membesarkan along sehingga sekarang cik antan tahu prestasinya tidaklah terlalu teruk tetapi along ni dulu banyak kes disiplinnya. Semasa di Kuantan selalu jugak cik antan suami isteri dipanggil oleh HEM kerana masalahnya. Sentiasa rakan-rakan dan juga pengetua cik antan menasihati cik antan supaya jangan terlalu susah hati. Namun alhamdulillah semasa dia di tahun 6 dia banyak berubah dan bila mendapat tahu dia mendapat 5A, rakan-rakan cik antan di Kuantan ramai yang tidak menyangka dan terkejut.
Tahun ni angah pulak akan menduduki peperiksaan UPSR. Harapan????ntahlah, seperti biasa cik antan tak lah meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Cik antan takut, kalau jatuh sakit.....setiap anak ada kekurangan dan kelebihannya. Memang harapan semua ibu ingin melihatnya anak-anaknya berjaya, dan harapan cik antan biarlah berjaya di dunia dan di akhirat. Itulah doa cik antan setiap kali selepas solat. Seikhlasnya cik antan tidak mengharapkan anak-anak cik antan untuk mendapat tempat yang pertama untuk setiap kali peperiksaanya, cukuplah sekadar mencapai tahap cemerlang. Bila harapan diletakkan terlalu tinggi, bukan sahaja anak-anak yang tertekan, kita juga akan turut tertekan. Dan harapan cik antan biarlah anak-anak tahu walau apa-apapun keputusan yang diperoleh, cik antan tetap sayangkan mereka.
No comments:
Post a Comment